SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini berada dalam kelompok kedudukan 101–200 dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025.
Menurut kenyataan media UNIMAS, daripada kedudukan 401–600 pada 2023, UNIMAS melonjak ke kelompok 301–400 pada tahun berikutnya, sebelum mencapai lonjakan signifikan pada tahun ini.
“Peningkatan ini didorong oleh pendekatan berasaskan bukti, pemantauan berstruktur, serta penekanan terhadap impak lestari dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan khidmat komuniti,” menurut UNIMAS.
Peningkatan berterusan sejak 2023 ini mencerminkan keupayaan UNIMAS dalam menyelaraskan strategi institusi dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Antara pencapaian utama UNIMAS dalam THE Impact Rankings 2025 ialah SDG 17: Partnership for the Goals – Kedudukan ke-16 dunia mengiktiraf kecemerlangan UNIMAS dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik merentas sektor dan sempadan.
Seterusnya SDG 16: Peace, Justice, and Strong Institutions – Di tangga ke-36 dunia, UNIMAS memperlihatkan komitmen tadbir urus berintegriti dan ketelusan institusi.
Manakala SDG 7 (Affordable and Clean Energy) dan SDG 2 (Zero Hunger) – pada kedudukan ke-81 dan ke-94 dunia, menekankan impak penyelidikan dan inisiatif komuniti dalam menangani isu tenaga dan keselamatan makanan.
Selain itu, pencapaian konsisten dalam SDGs—SDG 13 (Climate Action), SDG 14 (Life Below Water), dan SDG 15 (Life on Land)—dalam kelompok 101–200 dunia membuktikan komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan biodiversiti.
