DARO: Majlis Penangguhan Champoran Fasih Digital dan Ceramah Kewarganegaraan Digital di SK Camporan Daro semalam diserikan dengan pengumuman sumbangan RM10,000 daripada Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Program anjuran peserta NPQEL itu diselaraskan oleh Guru Besar SK Orang Kaya Selair, Matu, Shamsuzana, dengan objektif meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan murid melalui pembelajaran lebih interaktif.
Antara pengisian menarik ialah pengenalan aplikasi Wayground, sebuah platform digital yang berfungsi bukan sekadar sebagai kuiz, tetapi turut menawarkan kaedah pembelajaran kreatif untuk menarik minat pelajar.
Pelajar yang terlibat turut melafazkan Ikrar Digital Kewarganegaraan sebagai tanda komitmen mereka menggunakan teknologi secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
Ahmad Johnie dalam ucapannya menekankan bahawa penguasaan literasi digital amat penting dalam melahirkan generasi celik teknologi, khususnya bagi pelajar luar bandar agar tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.
Beliau menambah, pendedahan awal terhadap aplikasi digital seperti Wayground mampu merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar selain membentuk keyakinan diri serta daya saing murid.
