BINTULU: Pesta Tumbina 2025 dijangka menarik kunjungan 30,000 hingga 35,000 pengunjung di Taman Tumbina di sini yang bermula semalam hingga 10 Ogos ini.
Ini sekali gus akan memperkukuh kedudukannya sebagai antara acara komuniti terbesar di wilayah tengah Sarawak.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan berkata, angka itu juga merupakan sasaran peningkatan berbanding edisi terdahulu yang merekodkan kehadiran lebih 23,000 pengunjung.
“Pesta ini adalah sebahagian daripada usaha BDA untuk menyemarakkan semangat komuniti dan menyokong agenda pembangunan mampan seperti digariskan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Tumbina 2025 semalam.
Sehubungan itu, Haidar merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pelabuhan Bintulu yang terus menjadi rakan strategik utama menjayakan pesta itu buat kali kedua.
“Kerjasama ini amat kami hargai dan saya menyaran agar lebih banyak badan korporat tampil menyokong inisiatif seperti ini demi manfaat bersama,” katanya.
Aktiviti menarik pesta itu yang masuk edisi ketiga tahun ini termasuk pertandingan biodrama, mewarna, burung berkicau, fesyen kanak-kanak, cosplay dan pelbagai acara sampingan lain.
