KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Agensi-Agensi Islam di Dewan Kompleks Islam, di Kuching malam tadi.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr. Ripin Lamat, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin.
Premier turut memperdengarkan bacaan surah Ad-Dhuha.
Majlis diteruskan dengan bacaan takhtim sebelum berbuka puasa serta solat fardhu Maghrib berjemaah yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Premier dan isteri menyempurnakan upacara penyampaian sumbangan kepada 120 orang Urusetia Saudara Kita yang merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bebas di bawah seliaan MIS.
Kira-kira 600 orang terdiri daripada warga kerja Pejabat MIS, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mufti Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sarawak, Tabung Baitulmal Sarawak, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Tabung Haji Sarawak dan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak hadir.
