BALINGIAN: Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) yang mempromosikan produk keluaran pertanian Sarawak berlangsung di Anjung Selera Balingian, di sini, hari ini.
Inisiatif Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menawarkan komoditi termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, telur, ikan dan daging.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, penduduk berpeluang menikmati penjimatan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran melalui penganjuran JASS di kawasan DUN Balingian.
“Program ini dilancarkan 30 Ogos lalu oleh Menteri M-FICORD Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom. Ia sebagai usaha berimpak tinggi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program terbabit. Program itu dianggarkan mencatat nilai jualan sebanyak RM25,000 serta memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 isi rumah di DUN Balingian.
Selain itu, JASS turut meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan bekalan makanan segar kepada pengguna pada harga berpatutan, serta membuka peluang pasaran tambahan kepada peserta Program Ladang Kontrak dan usahawan tempatan melalui konsep jualan terus kepada pengguna.
