PUTRAJAYA: Sebanyak 13 pembida berjaya dalam proses bidaan terbuka Program Large Scale Solar – Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5 +).
Projek penjanaan solar berskala besar program LSS PETRA 5 + ini bakal dibangun dan membekal elektrik mulai tahun 2027 dan 2028.
Menurut kenyataan media Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), program LSS PETRA 5 + ini menawarkan dua pakej iaitu pakej satu untuk pembangunan loji jana kuasa solar dengan kapasiti antara 30MWac hingga 500MWac.
Kategori ini terbuka kepada syarikat dengan pemilikan tempatan sekurangnya 51 peratus dan jumlah kuota yang ditawarkan di bawah kategori ini adalah 1,500MWac.
“Pakej dua untuk pembangunan loji jana kuasa solar di badan air dengan kapasiti antara 10MWac hingga 500MWac,” menurut PETRA.
Kategori ini terbuka kepada syarikat dengan pemilikan tempatan sekurangnya 51 peratus dan jumlah kuota yang ditawarkan di bawah kategori ini adalah 500MWac.
PETRA melalui Suruhanjaya Tenaga telah membuka permohonan kuota solar sebanyak 2,000MWac melalui proses bidaan terbuka di bawah Program LSS PETRA 5 + pada 20 Januari 2025.
Mereka telah menerima sebanyak 37 permohonan untuk kedua pakej dengan jumlah kapasiti 4,073MW, iaitu 2.0 kali melebihi jumlah kuota ditawarkan.
“Penilaian menyeluruh telah dilaksanakan terhadap tawaran bidaan, hasilnya 13 pembida yang mematuhi kesemua syarat Request For Proposal telah berjaya dalam bidaan ini,” menurut PETRA.
Jumlah kapasiti yang diluluskan adalah berjumlah 1,975MWac iaitu yang terbesar sejak bidaan LSS dilaksanakan.
Kelulusan kapasiti pembangunan solar di bawah LSS PETRA 5 + yang baharu ini dijangka menjana pelaburan sebanyak RM6 bilion dan mewujudkan sebanyak 12,000 peluang pekerjaan dalam industri Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Projek penjanaan solar berskala besar yang bakal dibangunkan ini juga termasuk projek solar terapung terbesar di negara ini dengan jumlah kapasiti 200MWac.
“Suruhanjaya Tenaga akan mengeluarkan perincian lanjut mengenai keputusan bidaan ini,”tambah PETRA.
PETRA yakin inisiatif ini akan meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang tahun 2050, selain menyokong komitmen mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara.
