Parlimen Santubong belanjakan RM1.5 juta baik pulih 107 rumah

KUCHING: Trademark Parlimen Santubong iaitu #PolahDolokBaruMadah, membelanjakan RM1.5 juta untuk membaik pulih 107 rumah rakyat miskin di kawasan Parlimen Santubong.

Dilaksanakan sejak 2023, program itu menekankan tindakan yang nyata daripada sekadar kata-kata.

Program itiu dilaksanakan melalui Jawatankuasa Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin (MRP-PPRMS) yang ditubuhkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Santubong iaitu N3 Tanjong Datu, N4 Pantai Damai dan N5 Demak Laut.

Jawatankuasa itu berperanan sebagai pemudah cara dalam memastikan setiap keluarga berpendapatan rendah menikmati manfaat program berkenaan selaras dengan komitmen Parlimen Santubong untuk menambahbaik kualiti hidup masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan.

Program PPRMS ini bukan sekadar membaik pulih rumah, tetapi memberi sinar baharu kepada keluarga penerima untuk hidup dalam keadaan lebih selesa dan selamat.

Pada masa sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri, turut melawat projek naik taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) melibatkan Kampung Bako Hulu dan Kampung Bako Tengah.

Projek bernilai RM500,000 itu dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menggantikan titian kayu lama kepada laluan konkrit yang lebih selamat serta mesra penduduk.

Dengan pelaksanaan berterusan program-program itu, lebih ramai penduduk di Santubong dijangka menerima manfaat, sekali gus mengurangkan beban hidup mereka dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.