LUBOK ANTU: Projek pembinaan bangunan akademik dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkelili, di sini dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan turun padang meninjau kemajuan pelaksanaan projek terbabit hari ini.
Pelaksanaan projek itu bermula 2 Mei 2023 dan kini berjalan mengikut jadual dengan kemajuan 61 peratus.
“Projek bernilai lebih kurang RM22.5 juta ini melibatkan pembinaan bangunan akademik dengan kapasiti enam bilik darjah, asrama yang boleh menampung 200 pelajar, bekalan elektrik, rumah pam, tangki air dan beberapa kemudahan lain,” menurut kenyataan KKR.
Di samping itu, projek tersebut dilaksanakan secara Reka dan Bina (D&B) dengan Welfield Services Sdn.Bhd.sebagai kontraktor dan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.
KKR sehubungan itu menggesa agar semua pihak yang terlibat terus komited memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, tambahnya.
Menurut KKR, SMK Engkelili merupakan sekolah penting di daerah Lubok Antu dengan jumlah murid seramai 1,068 orang (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6), dibantu 8 guru serta 14 anggota kumpulan pelaksana.
