TANJUNG MANIS: Projek Bekalan Air Tanjung Manis yang tertangguh sejak 2016 kini sudah siap.
Ia mula dinikmati 2,431 isi rumah di Tanjung Manis.
Projek bernilai RM974.1 juta itu mula beroperasi 2 Oktober 2023 dengan kapasiti 50 juta liter sehari (JLH).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg brkata, kerajaan negeri meneruskan pembinaan loji tersebut dengan kos tambahan menggunakan kaedah tabung pembiayaan alternatif selepas menghadapi masalah teknikal.
Katanya, loji itu hanya menggunakan 8 hingga 13 JLH bagi menampung keperluan penduduk di Tanjung Manis.
“Di sini hanya digunakan oleh kampung-kampung di kawasan ini hanya 8 hingga 13 JLH manakala baki akan digunakan untuk sektor industri di sini,” katanya selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Bekalan Air Tanjung Manis, hari ini.
Bagi mengelak risiko paip pecah, Premier Sarawak mencadangkan kaedah baharu diguna pakai untuk menyalurkan paip iaitu menggunakan jambatan yang diperkukuhkan kekuatannya berbanding kaedah sedia ada iaitu menyalurkan paip di dasar sungai.
“Ini boleh digunakan untuk sementara waktu. Saya telah mengarahkan supaya ia menggunakan jambatan dan kekuatannya ditingkatkan untuk membolehkan paip menggunakan jambatan,” katanya.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
