Projek H2ornbill, H2biscus dianggar jana RM2.4 bilion kepada Sarawak

KUCHING: Hidrogen hijau dianggarkan menjana tambahan sebanyak RM2.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini melalui dua projek penghasilan hidrogen hijau iaitu projek H2ornbill dan H2biscus.

“Kedua-dua projek ini berpotensi menghasilkan sehingga 238,000 tan hidrogen hijau setahun, menjana anggaran tambahan RM2.4 bilion kepada KDNK Sarawak menjelang 2030,” katanya di Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Abang Johari berkata, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) telah menandatangani perjanjian dengan dua firma Jepun – Sumitomo Corp dan ENEOS untuk projek H2ornbill.

“Projek (H2ornbill) menghasilkan 90,000 tan setahun hidrogen hijau di Bintulu,” katanya.

Katanya, bagi projek H2biscus, Sarawak Energy bekerjasama dengan tiga syarikat multinasional Korea Selatan, iaitu Samsung Engineering, Posco, dan Lotte Chemical untuk membangunkan kemudahan derivatif hidrogen hijau.

“Projek H2biscus yang kini telah maju ke peringkat reka bentuk kejuruteraan bahagian hadapan,” tambahnya.