KUCHING: Sistem Maklumat Tenaga Kerja Sarawak (SWIS) yang dibangun Kerajaan Sarawak dijadual siap tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SWIS dibangunkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
“Setelah selesai (penyiapan SWIS), kami akan mempunyai sistem pangkalan data pasaran buruh yang komprehensif,” katanya di Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, SWIS mengandungi maklumat tentang permintaan industri untuk tenaga kerja dalam jangka pendek hingga panjang.
Sistem pangkalan data pasaran buruh terbabit juga memadankan permintaan dengan bekalan bagi tenaga kerja.
“Sebagai melengkapkan lagi pangkalan data SWIS, Kerajaan Sarawak baru-baru ini telah melancarkan sistem baharu yang dipanggil Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK),” tambahnya.
Menurutnya, SPEAK memberi manfaat kepada pelajar sekolah, pencari kerja dan belia di Sarawak dengan maklumat terkini tentang peluang latihan dan pengajian terkini.
