Pulau Bruit berpotensi jadi hab pembekal makanan hasil laut, pertanian

SEMOP: Pembinaan jambatan yang menghubungkan Pulau Bruit bakal mengangkat potensi pulau tersebut sebagai hab pembekal makanan berasaskan hasil laut dan pertanian di zon tengah Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ia akan memudahkan masyarakat mengeksploitasi produk-produk tempatan tersebut ke pasaran.

Beliau mengharapkan belanjawan Sarawak yang akan dibentang Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada hujung tahun nanti membawa khabar gembira kepada warga tani, nelayan dan penternak khususnya di Pulau Bruit.

“Ia dapat menaik taraf sistem pengairan, insentif benih yang berkualiti, subsidi baja serta racun dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada m Perasmian Pesta Pulau disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) Semop hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, pelbagai kemudahan pembangunan yang tidak digunapakai di Tanjung Manis akan dimanfat bagi membangunkan semula pusat latihan dan penyelidikan tani dan ternak bagi zon tengah.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Sarawak), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, ADUN Daro, Safiee Ahmad dan Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh.