SEMOP: Penantian penduduk Pulau Bruit untuk menikmati bekalan air mencukupi dan berkualiti bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Ia selepas Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana melebihi RM60 juta untuk melaksanakan projek pembekalan lima juta liter per hari (MLD) air ke pulau tersebut.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkenaan dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Pulau Bruit di Tapak Rural Growth Centre (RGC) Semop hari ini.
Selain itu, Abang Johari turut meluluskan 5.6 blok skim perumahan baharu di Pulau Bruit membabitkan kos RM4.5 juta akan ditanggung kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, rumah yang akan dibangunkan itu seperti di Kampung Dato atau Kemuyang di Sibu dan seperti di Sungai Bedaun, Kuching.
“Deposit RM10,000 GPS akan tanggung dan yang lain anda bayar. Kita akan tambah lagi sekiranya masih diperlukan, kerana saya percaya masa depan Sarawak sangat cerah,” dedah Premier Sarawak lagi.
Turut diluluskan adalah peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pembinaan Pusat Tani dan Medan Selera di Pulau Bruit, termasuk RM5.6 juta kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bagi membaik pulih rumah nelayan.
Dalam majlis sama, Abang Johari juga telah menyempurnakan upacara penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak kepada tiga penerima, diikuti penyampaian cek pampasan tanah bagi Projek Pemutihan Tapak Sedia Ada SK Sebako Bruit Land District Bahagian Mukah berkeluasan 0.423 hektar melibatkan tujuh lot kepada seorang penerima.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Shafiee Ahmad.
