PUSAKA, Yayasan Sabah bina hala tuju industri buluh bernilai tinggi Borneo

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Yayasan Sabah menjalin kerjasama strategik bagi mengangkat industri buluh sebagai sektor ekonomi hijau bernilai tinggi.

Pengarah ICU JPM Sabah, Datuk Samsul Dollah berkata, pengalaman serta kepakaran PUSAKA dalam pembangunan industri buluh menjadi rujukan penting untuk Sabah membangunkan sektor berkenaan sebagai pemacu ekonomi baharu yang berpotensi tinggi menerusi perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik antara Sabah dan Sarawak.

“Kita mahu melihat industri buluh berkembang sebagai antara pemangkin baharu pembangunan ekonomi, bukan sahaja di Sabah malah di Sarawak.

“Hubungan strategik seperti ini penting supaya pendekatan yang dibangunkan PUSAKA dapat dipelajari dan disesuaikan dengan keperluan Sabah,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ibu pejabat PUSAKA, di sini, hari ini.

Lawatan tersebut turut melibatkan kunjungan ke ibu pejabat PUSAKA di Petra Jaya serta lawatan teknikal ke Plot Percubaan dan Tapak Semaian Buluh PUSAKA di Hutan Simpan Sabal, Simunjan bagi melihat sendiri proses penyelidikan varieti, pengurusan tapak semaian, teknik penanaman dan penyelenggaraan ladang.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar PUSAKA, Haluyah Awi berkata, perkongsian kepakaran antara kedua-dua negeri mencerminkan komitmen bersama untuk membangunkan industri buluh berasaskan ilmu, teknologi dan pendekatan lestari yang mampu menyokong ekonomi hijau serta pembangunan luar bandar.

“Lawatan ini bukan sekadar platform perkongsian maklumat, malah ruang untuk bertukar pandangan, pengalaman teknikal dan amalan terbaik berkaitan pembangunan industri buluh.

“Kami berharap peserta dapat melihat sendiri pendekatan PUSAKA dalam aspek penanaman, pengurusan ladang, penyelidikan, pemprosesan serta pembangunan produk hiliran,” katanya.

Kerjasama PUSAKA dan Yayasan Sabah yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) tahun lalu meliputi pembangunan bahan mentah buluh, penyelidikan, pemindahan teknologi, latihan komuniti serta pembangunan modal insan bagi membentuk industri buluh yang mampan dan berdaya saing di Sabah serta Sarawak.