Pusat Kebudayaan Islam Cina bakal dibangun di Jalan Bako

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan sokongan terhadap usaha Persatuan Kebajikan Tionghua Islam Sarawak (PERKTHIS) dalam memperkasa komuniti Tionghua Muslim menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan projek pembangunan.

Kunjungan hormat delegasi PERKTHIS diketuai Presidennya, Mortadha Lau Abdullah di Bilik Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Delegasi turut berkongsi perkembangan terkini projek pembinaan Pusat Kebudayaan Islam Cina yang akan dibangun di Jalan Bako, Kuching.

Pusat yang bakal menjadi mercu tanda baharu Sarawak itu akan berfungsi sebagai wadah integrasi sosial dan perpaduan antara komuniti pelbagai kaum.

Ia bukan sahaja menyediakan kemudahan ibadah dan ruang komuniti, malah menjadi pusat rujukan bagi bukan Islam yang berminat mendalami ajaran Islam.

Tun Dr Wan Junaidi mengalu-alukan usaha PERKTHIS dalam mempromosikan keharmonian sosial.

Inisiatif seperti ini diteruskan untuk membina Sarawak yang lebih makmur dan sejahtera.

Turut hadir ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Presiden PERKTHIS, Muhammad Luk Sulaiman Luk; Naib Presiden, Lukhman Ting Abdullah, Setiausaha, Nur Aisyah Chan Abdullah, serta beberapa ahli jawatankuasa lain.