TANJUNG MANIS: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menganjurkan dialog projek karbon biru bersama komuniti di Kampung Paloh dan Kampung Serdeng, di sini.
Menurut kenyataan media PUSAKA, program ini dianjurkan dengan kerjasama Worldview Climate Solutions Sdn Bhd (WCS) yang bermula semalam sehingga hari ini.
Ini adalah inisiatif memperkenal dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam program pemulihan dan pemeliharaan ekosistem bakau di kawasan projek seluas 10,300 hektar.
Program itu dihadiri pemimpin komuniti tempatan termasuk Penghulu Kampung Paloh, Jaafar Sedi, Ketua Kaum Keprawi Bakar dari Kampung Sedo; Ketua Kaum Ben Kuleng dan Tuai Rumah Isa dari Telok Gelam.
Manakala, sesi dialog menekankan kepentingan karbon biru, termasuk peranannya dalam menyerap karbon dioksida, memelihara biodiversiti, melindungi kawasan pantai daripada hakisan, dan memperbaiki kualiti ekosistem setempat.
Penerangan juga diberikan mengenai faedah yang boleh diperoleh komuniti seperti peluang pekerjaan baru, pembangunan eko-pelancongan, program pembangunan kapasiti, dan peningkatan infrastruktur di kawasan projek.
Selain itu, taklimat mengenai Program Projek Karbon Biru juga disampaikan oleh Pegawai PUSAKA, Nizam Abdullah; wakil WCS, Briggette Phillip; dan Pegawai SFC, Winnie Akin.
Turut hadir, Penolong Pengurus Besar Pengurusan Sumber Lestari PUSAKA, Hamzah Morshidi dan Pengurus Projek, Endela Tipot.
