Rebut peluang inisiatif pendidikan Sarawak

BINTULU: Para pelajar harus mengambil peluang pendidikan dengan memanfaatkan inisiatif yang disediakan Kerajaan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, antara inisiatif yang disediakan ialah pendidikan percuma bagi pelajar cemerlang di universiti milik kerajaan negeri mulai tahun 2026.

Berucap pada majlis penyerahan Bantuan Ace Didik kepada pelajar sekolah di Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak di sini, beliau berkata, inisiatif itu adalah peluang keemasan bagi pelajar yang menunjuk kecemerlangan.

Menurut Iskandar, pelajar yang memiliki ijazah dan diploma kini mudah untuk mendapatkan pekerjaan di samping mereka yang memiliki sijil kemahiran.

Justeru, katanya, jangan lepaskan peluang keemasan itu dengan belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Inisiatif Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan percuma di peringkat universiti sebagai usaha melahirkan modal insan yang boleh membantu membangunkan negeri dan masyarakat, katanya.