SEBUYAU: Sebuah pusat komuniti akan dibina disebuah tapak yang diwakaf oleh seorang individu di Kampung Lunyin di sini.
Pembinaan pusat berkenaan diusahakan Hikmah Ranting Sebuyau bertujuan menyediakan tempat kepada penduduk terutama saudara kita di kawasan itu untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama mempelajari ajaran Islam.
Pengerusi Hikmah Ranting Sebuyau, Tuanku Hadwad Tuanku Sekeran berkata, pada masa ini tapak cadangan pusat sedang dibersihkan dan kerja menimbus tanah di kawasan itu juga sedang dijalankan.
Katanya, apabila kerja membersih dan menimbus tanah siap kelak, kerja mendirikan bangunan pusat ini akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Insya Allah kami (Hikmah Ranting Sebuyau) menjangka kerja pembinaan Pusat Komuniti ini siap sebelum bulan Ramadan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak cadangan Pusat Komuniti ini baru-baru ini.
Beliau ditemani Setiausaha Hikmah Ranting Sebuyau, Ustaz Wan Lukmanhakim Wan Sajali yang juga seorang Ahli Majlis Tertinggi Hikmah Negeri.
Tuanku Hadwad yang juga Timbalan Pengerusi Hikmah Cawangan Samarahan berkata, apabila pusat ini siap kelak ia akan dilengkapi dengan beberapa kelengkapan seperti kerusi meja, ruang musolla, bilik rehat, tandas dan tempat basuhan.
Menurutnya, Hikmah Ranting Sebuyau akan menempatkan seorang guru agama yang bertauliah untuk membimbing penduduk di pusat ini.
Tuanku Hadwad menjelaskan, bahawa kos membina pusat komuniti yang dianggarkan berharga lebih RM200,000 adalah hasil sumbangan orang ramai, manakala tapak seluas kira-kira setengah ekar juga sumbangan daripada seorang saudara kita di kawasan Sebuyau.
Orang ramai yang berhasrat memberi sumbangan boleh menghubungi terus Tuanku Hadwad (019-8461769), Jelani Abdullah (011-12637138) .
