Perbankan tanpa tunai lebih mudah – Ahmad Johnie

DARO: Penduduk di sini digesa supaya manfaatkan penggunaan kemudahan perbankan tanpa tunai yang didapati lebih selamat dan mudah untuk digunakan.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penggunaan kemudahan perbankan tanpa tunai kini semakin mendapat sambutan di Malaysia, selari dengan perkembangan teknologi kewangan semasa.

“Langkah ini bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah mampu meningkatkan keselamatan dalam transaksi kewangan,” katanya merasmikan Majlis Program Fun Nancial 2.0 anjuran Agro Bank Cawangan Daro di sini, hari ini.

Program tersebut melibatkan lebih 100 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program berkonsepkan santai itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan menghias tabung duit oleh anak-anak Sedidik Matu Daro, kuiz produk Agro Bank serta cabaran teka syiling yang mencuit hati para peserta.

Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai kepentingan celik kewangan khususnya kepada kanak-kanak dan masyarakat.

Program itu juga berjaya mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan menabung serta peka akan pengurusan kewangan berdasarkan teknologi digital pada masa kini.