NEW SOUTH WALES, Australia: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi semalam mengetuai pegawai dari kementeriannya dan Sarawak Energy Berhad (SEB) mengadakan lawatan kerja ke fasiliti di Snowy Hydro Tumut 3 di sini.
Lawatan rombongan dari Sarawak itu bertujuan menimba pengetahuan mengenai kemungkinan Penyimpanan Tenaga Hidro Pam (PHES) di Sarawak.
PHES merupakan bahagian penting dalam usaha Sarawak untuk membangunkan sumber tenaga empangan melata (CPS).
Sarawak memberi perhatian khusus kepada PHES kerana ia merupakan satu daripada komponen penting bagi mencapai sasaran menjana 10GW tenaga menjelang 2030.
PHES menjana elektrik menggunakan sistem graviti yang mengalirkan air yang dipam daripada sumber simpanan air di bawah ke simpanan air di atas untuk membekalkan tenaga ke grid apabila diperlukan.
Skem Hidroelektrik Gunung Snowy mengandungi lapan stesen tenaga hidro termasuk dua di bawah tanah. Lapan stesen tenaga itu dilengkapi 33 turbin dan berkeupayaan menjana 4,100 megawatt tenaga dan purata 4,500 gigawatt sejam tenaga diperbaharui setahun.
Stesen Tenaga Snowy Hydro Tumut 3 merupakan bahagian utama Skim Hidroelektrik Gunung Snowy iaitu salah satu daripada fasiliti hidroelektrik utama Australia dan PHES.
Semasa lawatan ke stesen hidro itu, rombongan dari Sarawak diberi taklimat mengenai aspek pengoperasian Tumut 3 dan melawat Empangan Talbingo.
Menyertai rombongan dari Sarawak itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap dan Pengarah Bekalan Elektrik MUT, Syed Mohamd Fauzi Shahab, Ketua Pegawai Oerpasi Kumpulan Sarawak Energy, Ir. James Ung, Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga SEB, Ir. Bunyak Lunyong, Naib Presiden Kanan Sarawak Energy bagi Pembangunan Perniagaan, Nick James Amett Wright, pegawai MUT dan Sarawak Energy.
