SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) disaran memperkukuhkan peranan dalam melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran serta berintegriti sebagai pewaris kepimpinan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, proses peralihan kepimpinan perlu dilaksanakan secara tersusun dan berperingkat, dengan golongan berpengalaman memainkan peranan sebagai pembimbing kepada generasi pelapis sebelum tampuk kepimpinan diserahkan sepenuhnya.
“Kesinambungan antara pengalaman dan semangat anak muda akan memastikan Sarawak terus berada pada landasan pembangunan mampan.
“Golongan berpengalaman membimbing dan menasihati, manakala generasi muda bersedia mengambil alih tanggungjawab kepimpinan. Gabungan ini penting bagi menjamin kemajuan berterusan.
“Dalam masa sama, integriti merupakan asas utama dalam membentuk kepimpinan yang berwibawa. Tanpa nilai ini, sukar untuk melahirkan pemimpin berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tiga Tahunan SABERKAS Sarawak Ke-18 di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, pembangunan belia perlu diberi penekanan selaras perubahan landskap ekonomi serta cabaran masa depan yang semakin kompleks.
Katanya, ini sekali gus menuntut pemimpin berpengetahuan, berkemahiran dan memiliki jati diri yang kukuh.
Abang Johari turut menyatakan keyakinan terhadap masa depan Sarawak yang cerah, didorong oleh kekuatan modal insan yang sedang diperkasa serta keberanian generasi muda untuk meneroka peluang baharu dengan pendekatan yang strategik dan berhemah.
Hadir sama, Presiden SABERKAS Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Presiden SABERKAS Sarawak merangkap Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan), Datuk Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak merangkap ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad, serta tetamu lain.
