KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk memperkenalkan dasar perlombongan baharu menjelang 2026 yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan alam sekitar dan penggunaan teknologi moden dalam industri perlombongan mineral.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dasar baharu ini akan memastikan khazanah bumi dilombong secara berhemah tanpa merosakkan struktur geologi kawasan terlibat.
Menurutnya, ini berpandukan kepada kaedah perlombongan di Kanada yang membolehkan kawasan yang digali kelihatan seperti belum disentuh hasil daripada penggunaan teknologi yang tidak menjejaskan struktur asas bumi.
“Umpamanya seperti dahulu, kita buka perlombongan terbuka, kita gali tapi selepas itu ditinggal begitu sahaja. Oleh itu, terdapat kawasan perlombongan yang menjadi tasik seperti yang berlaku kepada Tasik Biru Bau,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar (MUDENR) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kerana mengetuai delegasi ke Kanada bagi meninjau model perlombongan mampan di negara itu.
Premier Sarawak turut menjelaskan bahawa dasar baharu ini hanya melibatkan perlombongan mineral dan tidak merangkumi sektor minyak dan gas.
Turut hadir, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri MUDENR, Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MUDENR, Datu Abdullah Julaihi.
