KUCHING: Sarawak ketika ini mungkin menghadapi gelombang fasa pertama banjir dan berpotensi berlarutan dilanda gelombang banjir sehingga sekitar Mac depan.
“Ini mungkin fasa pertama banjir. Kita berharap tidak berlaku gelombang seterusnya, namun berdasarkan unjuran, keadaan ini berpotensi berlarutan sehingga sekitar bulan Mac,” menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah di sini hari ini.
Uggah sehubungan itu berkata, semua agensi diarahkan untuk terus bersedia serta memantau rapi kawasan berisiko tinggi, khususnya di kawasan rendah yang kerap dilanda banjir dan sungai-sungai utama.
Menurutnya selain itu, semua JPBNS di peringkat bahagian turut diarahkan memastikan PPS berada dalam keadaan siap sedia, termasuk aspek kebersihan, kemudahan, bekalan makanan dan keperluan asas bagi menempatkan mangsa sekiranya berlaku pemindahan tambahan.
