KUCHING: Sarawak dalam usaha menyediakan lebih banyak rumah mampu milik berkualiti dengan melancarkan Kilang Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dibangun LCDA CTR Technology Sdn. Bhd.
Kilang dibina di Kuching dengan kos kira-kira RM29 juta itu akan mengeluarkan bahan komponen untuk pembinaan rumah dan komponen lain.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan adanya kilang ini, pemaju mensasarkan dapat membina sekitar 600 unit rumah banglo dalam masa setahun.
Katanya, selain pembinaan rumah lebih tepat, penggunaan sistem IBS tidak akan memberi kerosakan kepada rumah.
“Dengan IBS juga tidak ada sisa banyak kerana sangat bersih dan kwasan perumahan serta elektrifikasi sudah dimasuk dalam komponen tersebut.
“Jadi saya rasakan dengan adanya sistem IBS kita dapat membangunkan rumah dengan lebih cepat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kilang Sistem Binaan Berindustri (IBS) LCDA CTR Technology Sdn. Bhd hari ini.
Abang Johari menambahkata, menjadi pendekatan Sarawak untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan tidak terlalu sibuk berpolitik.
“Kita di Sarawak kini sedang sibuk, bukan sibuk dengan langkah satu, langkah dua (berpolitik), tetapi sibuk dengan langkah membina rumah, mengatur bekalan elektrik, jalan raya dan sebagainya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sebagai permulaan, sistem IBS itu akan digunakan bagi membangunkan projek perumahan di Jalan Depo.
Katanya, sistem itu juga digunakan dalam pembangunan rumah bagi Skim Pembesaran Kampung termasuk di kawasan luar bandar seperti yang dilaksanakan di Kabong dan Tambirat.
“Jadi kita sudah mempunyai satu sistem mesra alam yang memenuhi kehendak alam sekitar dan juga rumah yang berkualiti yang kita bangunkan samada di kawasan bandar dan luar bandar.
Dari segi perancangan, beliau berkata sebanyak 1,500 hingga 2,000 unit rumah disasarkan akan dibangunkan menggunakan sistem IBS ini.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
