Projek mikroalga fasa kedua di Sejingkat dimulakan tidak lama lagi

KUCHING: Projek mikroalga fasa kedua di Sejingkat akan dimulakan tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Eksekutif, Dr Takanori Hoshino kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Delegasi Chitose Group diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Tomohiro Fujita.

Dalam perbincangan itu juga, Dr Takanori memberitahu Chitose Group akan memperbesarkan lagi fasiliti pengeluaran mikroalga di Sejingkat dengan keluasan 100 hektar.

Ia bagi menampung kapasiti fasiliti terdahulu seluas lima hektar di Sejingkat yang telah siap dan telah mengeluarkan mikroalga.

“Kami berasa sangat gembira untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Sarawak dan berharap dapat menunjukkan kepada orang awam progres kami,” katanya.