KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik sekali gus memuji langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan badan ombudsman di negeri Sarawak dalam usaha membendung rasuah.
Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Dato’ Azam Baki berkata, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan badan ombudsman dan integriti.
“SPRM sedia membantu Kerajaan Sarawak dalam menjayakan misi membendung gejala rasuah di negeri Sarawak,” katanya pada sidang media selepas majlis Cakna Rasuah SPRM bersama Media Sarawak di sini hari ini.
Untuk rekod, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November tahun lalu telah meluluskan Rang Undang-undang Ombudsman dan Integriti sebagai satu ordinan bagi membendung gejala rasuah.
Azam berkata, menempatkan pegawai SPRM di kementerian atau agensi berkenaan adalah antara bantuan yang dihulurkan SPRM kepada Kerajaan Sarawak.
Pegawai SPRM berkenaan akan memantau urusan kementerian atau agensi terbabit dari semasa ke semasa, katanya dan menambah, di Sarawak SPRM memiliki pejabat di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang dengan 168 pegawai keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau turut memohon kerjasama daripada semua lapisan masyarakat untuk melaporkan sebarang gejala rasuah kepada SPRM supaya tindakan dapat diambil.
Setiap pemberi maklumat adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 Akta 711 dan Akta Perlindungan Saksi 2009 Akta 696.
