Dr Wan Junaidi diberi taklimat pentadbiran Astana

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Astana hari ini selepas dilantik 26 Januari lalu.

Mengiringi Tun ialah isteri beliau Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Setibanya di Astana, Tun Dr Wan Junaidi dan isterinya disambut oleh Pegawai Pentadbiran Kanan Astana, Riziandy Nawawi dan Setiausaha Sulitnya Junih Salleh Ahmad.

Dalam lawatan tersebut, Tun Dr Wan Junaidi turut diperkenal dengan anggota kakitangan Astana dan diberi taklimat tentang tugasnya.

Tun diberikan taklimat berkenaan Astana berusia 153 tahun yang kini dalam fasa pengubahsuaian itu oleh Riziandy.

Dalam pada itu, Tun dan rombongannya kemudian diberi jamuan minum petang di Astana sebelum berangkat ke dewan besar untuk bergambar bersama kakitangan Astana.