MIRI: Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LBP) Sarawak dari Telok Melano ke Miri dijadualkan siap pada April 2024 dengan Pakej Kerja WP11 kini 97.45 peratus siap, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, kerja-kerja melibatkan reka bentuk semula pembinaan jajambat di Seksyen Lambir tidak akan menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya kerana masih boleh menggunakan jalan sedia ada.
Pakej Kerja 11 LBP itu adalah dari Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link dengan jajambat di Seksyen Lambir dijadual siap pada suku keempat 2025, katanya dalam kenyataan selepas turun padang meninjau kemajuan pelaksanaan dan perancangan infrastruktur Jalan Persekutuan di sini.
Menurut Alexander, jumlah panjang jalan Persekutuan di Bahagian Miri yang disenggara oleh syarikat konsesi adalah sepanjang 85.76 kilometer (km) iaitu 44.03 km dikategorikan sebagai Jalan Protokol manakala 41.73 km adalah Jalan Utama.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan anggaran peruntukan sebanyak RM2.8 juta setahun bagi melaksanakan penyenggaraan rutin Jalan Persekutuan di sini, katanya.
Pada 2023, beliau berkata, beberapa tindakan segera diambil sebagai langkah penyelesaian jangka pendek menangani jalan belubang dengan melaksanakan penampalan jalan di bawah kerjua-kerja penyenggaraan rutin.
Bagi permukaan turapan jalan yang rosak akibat faktor pengusiaan dan berada pada tahap kritikal, kerja-kerja penyenggaraan dengan peruntukan sebanyak RM4.6 juta yang melibatkan tiga lokasi untuk dilaksanakan segera pada 2024, tambah beliau.
Selain itu, katanya, KKR meluluskan sejumlah RM0.8 juta bagi pelaksanaan penyenggaraan berkala bukan penurapan yang melibatkan empat lokasi dan RM0.3 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan kecil Jambatan Sg Lutong.
Siri turun padang itu, tambahnya, bermula dengan tinjauan lokasi cadangan Pakej Kuala Baram ke CIQ Sungai Tujoh, yang merupakan salah satu daripada tiga pakej Projek Lebuh raya Trans Borneo (LTB).
Projek LTB bertujuan menambahbaik jaringan Jalan Persekutuan di antara sempadan Miri, Limbang dan Lawas ke Brunei Darussalam, katanya.
KKR, tegasnya, turut merancang menaik taraf Bulatan Pujur 3 kepada persimpangan lampu isyarat serta pelebaran jalan dari Bulatan Saberkas/Pujut ke Persimpangan Pujut 7 daripada laluan berkembar empat lorong kepada enam lorong sepanjang 3km.
Projek itu, tambahnya, mendapat kelulusan kerja awalan di bawah peruntukan Rancangan Boleh Pinda Empat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan kos anggaran RM 1.23 Juta.
“Melalui kerja-kerja naik taraf, projek baharu dan penyenggaraan jalan Persekutuan di Miri ini, ia membuktikan komitmen berterusan KKR dalam menyediakan fasiliti dan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada rakyat dan mengurangkan masalah kesesakan,” katanya.
GAMBAR: Alexander Nanta Linggi
