SIBU: Sarawak memfokuskan reka bentuk penyertaan dalam pelbagai inisiatif dan projek dalam usaha mencapai matlamat pembangunan yang inklusif dan berdaya tahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, reka bentuk penyertaan memainkan peranan penting dalam merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta inisiatif pembangunan lain.
Katanya, pendekatan ini bagi memastikan semua pihak berkepentingan, termasuk masyarakat tempatan terlibat secara aktif dalam proses reka bentuk dan melaksanakan projek pembangunan.
Ujarnya, masyarakat hari ini hidup dalam era Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang menawarkan peluang besar tetapi juga cabaran berat.
“Dalam menghadapi kerumitan Revolusi Industri Keempat (4IR) dan bersiap untuk cabaran transformasi Revolusi Industri Kelima (5IR), adalah penting bagi kita bekerjasama dalam membina kerjasama baharu serta memperkasa warganegara dan inovator tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis makan malam sempena ‘The 18th Biennial International Participatory Design Conference’ (PDC) 2024 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, semalam.
Abang Johari turut menekankan bahawa, selepas pandemik COVID-19, Kerajaan Sarawak telah merangka dasar-dasar pembangunan yang memfokuskan pada kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar, melibatkan komunikasi erat dengan pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan dasar.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyempurnakan penyampaian ‘Artful Integrators Award’ PDC 2024 yang dianugerahkan kepada Janustu Bangalore, India dan The Long Lamai Ulu Baram Sarawak, Malaysia.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UTS Datuk Dr Annuar Rapaee, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.
