Sarawak hab penyelidikan tenaga diperbaharui

SINGAPURA: Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Pusat Perubahan Iklim Sarawak sebagai hab wilayah penyelidikan, menggubal dan berkolaborasi dalam membangunkan tenaga diperbaharui.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat itu akan fokus kepada adaptasi, menangani, pengurusan karbon, penilaian risiko bencana dan tenaga diperbaharui.

Selain itu, ia juga akan menjadi platform model iklim, membina keupayaan dan pertukaran pengetahuan di peringkat global, katanya berucap pada satu majlis di Institut Yusof Ishak ISEAS di sini.

Premier Sarawak dijemput ke majlis itu untuk berkongsi mengenai usaha Sarawak mencapai kelestarian tenaga diperbaharui dan ketahanan masa depan.

Abang Johari berkata, pentadbiran dan akauntibiliti sangat penting dalam mencapai usaha itu dan Sarawak telah memperkenalkan Laporan Kelestarian Awam untuk meningkatkan tanggungjawab korporat dan sejajar dengan piawaian Matlamat Kelestarian Alam Sekitar global.

Sejurus dilaksanakan, beliau berkata, ia akan mengukuhkan keyakinan pelabur, memupuk amalan perniagaan bertanggungjawab dan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju kelestarian pemerintahan, menyumbang kepada ekonomi hijau ASEAN dan ketahanan dalam jangka panjang.

Sarawak, katanya, mengalu-alukan rakan kongsi dan pelaburan dalam tenaga bersih, teknologi digital dan kelestarian industri untuk mengukuhkan peranan Sarawak sebagai hab inovasi hijau.

Sarawak juga memelihara kelestarian melalui inovasi, pelaburan dan insentif strategik dalam tenaga diperbaharui, hidrogen, bioteknologi, perangkap karbon dan ekopelancongan, katanya.

Premier Sarawak juga menegaskan, dilancarkan pada bulan Oktober lalu, Halatuju Kelestarian Sarawak akan mempercepatkan pelaburan dan inovasi teknologi, mengukuhkan peneraju hidrogen hijau, perangkap karbon dan bandar bijak.

Ia juga menggalakkan kolaborasi teknologi dalam pengurusan sumber dipacu AI, kebolehan blockchain pasaran karbon dan penyelesaian bandar bijak untuk meningkatkan kecekapan dan kelestarian, tegas beliau.

Tenaga kerja mahir akan menggerakkan visi berkenaan, katanya dan menambah, melalui biasiswa, latihan dan perkongsian dengan universiti, Sarawak menyediakan bakat untuk transfromasi tenaga bersih dan digital.

Dengan mengeratkan kerjasama di peringkat wilayah dalam industri hijau, keselamatan tenaga dan penyelesaian iklim, beliau berkata, Sarawak sedang membina kelestarian daya saing ekonomi.