1,080 taska tidak berdaftar seluruh negara, 95 di Sarawak

KUCHING: Sebanyak 1,080 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh negara termasuk 95 di Sarawak masih belum berdaftar.

Malah, sebahagian daripadanya beroperasi tanpa kelulusan penuh.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, taska yang telah menghantar permohonan tetapi belum diluluskan masih dalam proses pendaftaran.

Justeru tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang beroperasi tanpa pendaftaran sah.

“Sehingga 10 Januari lalu, sebanyak 20 taska memperoleh perakuan pendaftaran.

“Manakala, 16 lagi telah menghentikan operasi atas pelbagai faktor, termasuk kegagalan memenuhi syarat pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Plak TASKA Berdaftar di Dewan Wisma Kebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, hari ini.

Manakala di Sarawak, beliau mendedahkan 95 taska masih belum berdaftar dengan JKM walaupun ada yang dalam proses pendaftaran.

Dedahnya, Sarawak kini mempunyai 142 taska berdaftar merangkumi pelbagai kategori, termasuk taska institusi, taska tempat kerja, komuniti dan di rumah.

Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 65 taska berdaftar, diikuti Samarahan (22), Miri (13) dan 42 lagi di bahagian lain.

“Daripada jumlah ini, 103 adalah taska institusi, 14 taska tempat kerja, empat taska komuniti dan 21 taska di rumah,” jelasnya.

Nancy menambah, sebanyak 59 taska telah menerima notis peringatan dan sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

Ujarnya lagi, lawatan mengejut tanpa notis awal dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha pemantauan dan penguatkuasaan.