SINGAPURA: Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang dikuasakan oleh hidrogen turut mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasinya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AI memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan laluan, memantau operasi secara masa nyata. Selain itu, ia juga mempertingkatkan penyelenggaraan bagi memastikan mobiliti yang lebih bersih, cekap dan mampan.
“Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 menggalakkan penggunaan AI, Internet of Things (IoT) dan Big Data bagi meningkatkan kecekapan tenaga, pengurusan sisa serta perancangan bandar.
“Langkah ini akan memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan keterhubungan negeri,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Institut Yusof Ishak (ISEAS) di sini, hari ini.
Selain memodenkan bandar, Premier Sarawak turut menekankan kepentingan memelihara alam sekitar bagi memastikan kelestarian jangka panjang.
Menurutnya, hutan memainkan peranan penting dalam penyerapan karbon, dengan 62 peratus daripada tanah Sarawak masih dilitupi hutan.
“Memperluaskan kapasiti ini terus menjadi keutamaan, selari dasar pemuliharaan yang ketat dan usaha menghapuskan pembalakan tidak lestari,” ujarnya lagi.
Beliau turut berkongsi kejayaan Kempen Penghijauan Malaysia di mana Sarawak berjaya mencapai sasaran menanam 35 juta pokok lebih awal daripada jadual pada Jun 2024, mengukuhkan komitmen wilayah ini terhadap pemulihan hutan dan perlindungan biodiversiti.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Institut Yusof Ishak (ISEAS), Choi Shing Kwok serta Penasihat Perubahan Iklim Sarawak, Dr. Ir. Ts. Angelia Liew San Chuin.
