SINGAPURA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg tiba di Singapura hari ini untuk memulakan lawatan kerja rasmi selama dua hari di negara republik itu.
Ketibaan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Penasihat Perubahan Iklim, Dr. Ir. Ts. Angelia Liew San Chuin.
Lawatan ini mencerminkan komitmen Sarawak untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Singapura dalam pelbagai bidang utama seperti ekonomi, tenaga boleh diperbaharui dan transformasi digital.
Premier Sarawak dijadual bertemu dengan Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan pada malam ini. Kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk perdagangan, pelaburan, serta usaha bersama dalam menangani perubahan iklim.
Pada keesokannya, beliau akan mengadakan pertemuan tidak rasmi dalam suasana santai ketika bersarapan bersama Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Industri Singapura, Dr Tan See Leng.
Dialog ini dijangka menumpukan kepada peluang kerjasama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi kuasa besar tenaga hijau di rantau ini.
Beliau seterusnya akan menyampaikan syarahan umum di Institut ISEAS–Yusof Ishak (ISEAS) sebuah institut penyelidikan terkemuka di Asia Tenggara.
Abang Johari dijangka menggariskan strategi Sarawak dalam mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital serta membina daya tahan ekonomi dalam menghadapi cabaran global.
Majlis tersebut akan dihadiri pembuat dasar, pemimpin industri, serta ahli akademik, menjadikannya platform penting bagi membincangkan tindakan terhadap perubahan iklim, inovasi ekonomi dan pengukuhan hubungan serantau.
