KUCHING: Lebih 1,000 rakyat Sarawak mendapatkan khidmat kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dalam usaha menangani tekanan mental selain mendapatkan nasihat kesejahteraan emosi dan psikologi.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, peningkatan bilangan individu yang mendapatkan bantuan menunjukkan keperluan mendesak terhadap perkhidmatan kaunseling terutama dalam kalangan pelajar.
Ini dibuktikan apabila ramai pelajar sekolah dari kawasan berhampiran Santubong datang berjumpa dengan kaunselor semasa program itu diadakan di situ baru-baru ini, katanya.
“Kita dapat melihat pelbagai isu yang dihadapi, dan ini membuktikan bahawa khidmat kaunseling adalah satu keperluan untuk masyarakat termasuk wanita, remaja, dan pelajar yang sedang meningkat dewasa.
“Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan sehingga menyebabkan tekanan mental akhirnya membawa kepada lebih serius seperti bunuh diri,” katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Kasih: PSSS dan penyampaian sumbangan Back to School di sini hari ini.
Beliau bersyukur kerana ramai rakyat Sarawak kini memilih untuk mendapatkan khidmat kaunseling berbanding membiarkan masalah yang dihadapi berlarutan tanpa penyelesaian.
Selain membantu individu, PSSS juga mula menawarkan khidmat kaunseling kepada pegawai perubatan dan jururawat di hospital yang sering berdepan tekanan kerja yang tinggi.
