Generasi muda perlu libatkan diri dalam pendidikan, kemahiran

BELAWAI: Generasi muda harus melibatkan diri dalam pembangunan mampan Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata ini terutama dalam aspek pendidikan dan kemahiran tinggi.

“Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan mampan yang menekankan kebersihan, kecekapan tenaga serta penggunaan teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penutupan Program Kembara Siswa Bersama Komuniti: Advokasi Kepenggunaan dan Khidmat Masyarakat anjuran Politeknik Mukah di Dewan Masyarakat Kampung Belawai, di sini, hari ini.

Selain itu Len juga mendedahkan Kuala Rajang mencatat sejarah sebagai lokasi perintis karbon biru pertama di Malaysia.

Katanya, ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

“Saya yakin dasar-dasar yang kita laksanakan kini akan membawa manfaat bukan sahaja kepada generasi sekarang, tetapi juga masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Program Kembara Siswa Bersama Komuniti: Advokasi Kepenggunaan dan Khidmat Masyarakat itu bertujuan memupuk kesedaran hak pengguna dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat dan bermula 7 Februari lalu.

Program itu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Tanjung Manis, Pertama Ferroalloys Sdn Bhd, Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Bumiputera Sibu dan Projectmommy.co.