Sarawak perkenal kursus baharu, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembinaan

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkasakan pendidikan dengan memperkenalkan kursus baharu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Pengurusan Pembinaan), kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kursus tersebut ditawarkan di unversiti milik kerajaan untuk melahir lebih ramai modal insan dalam industri pembinaan dan pengurusan binaan.

“Kursus tersebut adalah satu disiplin baharu untuk melahir modal insan yang peka dengan perkembangan semasa, sekali gus menyokong industri pembinaan yang semakin menuntut pendekatan mampan dan mesra alam.

“Disebabkan pembinaan merupakan salah satu daripada industri karbon, kaedah baharu perlu diperoleh untuk menanganinya,” katanya merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, kursus tersebut bakal ditawarkan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, selain Universiti Teknologi Swinburne Sarawak yang sudah bersedia dengan program berkenaan manakala institut lain seperti ICATS pula masih dalam perancangan untuk menyediakan kursus tersebut.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan menaja pelajar Sarawak yang layak untuk menyambung pengajian dalam bidang berkenaan bermula tahun depan, sejajar dengan komitmen kerajaan terhadap pendidikan percuma bersyarat.

Mengenai ICW Borneo 2025, beliau berkata, forum sebegini untuk mewujud kesedaran supaya kontraktor yang terbabit dalam industri pembinaan dapat mempelajari fasiliti pengurusan.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Menteri Di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.