Sarawak, Pulau Pinang pacu industri semikonduktor

PULAU PINANG: Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan mesyuarat dengan pengusaha industri di sini, hari ini.

Ia bertujuan memperkenalkan Sarawak sebagai rakan strategik dalam membangunkan industri semikonduktor Malaysia.

Sesi libat urus itu dianjurkan MINTRED sebagai platform rundingan mewujudkan peluang kerjasama.

Ahli-ahli Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) berkongsi pandangan mengenai usaha Sarawak bagi menyokong dan mengukuhkan ekosistem semikonduktor negara terutama berkaitan tenaga diperbaharui, infrastruktur dan komitmen pertumbuhan mampan.

MINTRED akan mengadakan sesi libat urus seterusnya dengan syarikat terbabit bagi mempercepatkan cadangan mereka.

Hadir sama Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Dr. Malcolm Mussen, Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron dan Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED, Lo Sheau Sia.