Borneo InTEX: Inovator tempatan luar negara pamerkan ciptaan, hasil kajian

KUCHING: Lebih 200 inovator tempatan dan luar negara berhimpun mempamerkan hasil kajian serta ciptaan menerusi Borneo InTEX 2025 yang melabuh tirai pada hari ini.

Majlis penutupan Borneo InTEX International Technology disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Borneo InTEX membuktikan peranannya sebagai platform yang menyatukan penyelidik, pencipta, usahawan dan komuniti.

Dr Annuar berkata, inovasi tidak seharusnya terhenti di peringkat makmal atau pameran semata-mata, sebaliknya dimanfaatkan kepada masyarakat.

“Inovasi yang sebenar ialah apabila hasil penyelidikan dan ciptaan dapat memberi kebaikan kepada komuniti.

“Ia perlu inklusif, tidak terpisah dalam silo, serta menghubungkan kecemerlangan akademik dengan keperluan industri,” katanya di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, inovasi juga membawa tanggungjawab besar kerana penyelidik dan pencipta adalah “penyelesai masalah” yang mampu menawarkan jalan keluar kepada isu-isu global termasuk kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, Sarawak sendiri sedang melangkah ke hadapan melalui pelbagai usaha inovasi, antaranya pemetaan genom pokok rumbia oleh penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang membuka peluang baharu dalam industri agro-moden.

“Projek tenaga boleh diperbaharui seperti Empangan Baleh, Biomass-to-Energy di Bintulu dan penyelidikan solar terapung di UNIMAS membuktikan komitmen negeri terhadap masa depan rendah karbon dan mapan tenaga,” jelasnya.

Justeru, beliau menyaran peserta agar memanfaatkan Borneo InTEX sebagai ruang membina rangkaian, berkongsi ilmu serta menjalin kerjasama.