KUCHING: Sarawak menyokong pendedahan awal teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan bagi mengelakkan disalahgunakan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini penting memandangkan teknologi berkenaan menjadi ‘enabler’ kepada banyak perkara termasuk digunakan untuk tujuan yang tidak bertanggungjawab.
“Jika tidak didedahkan lebih awal, ia boleh disalahgunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025, di sini, hari ini.
Abang Johari turut menggesa pendidikan berkaitan AI turut merangkumi aspek tanggungjawab moral, supaya generasi muda dapat menggunakan teknologi itu secara bijak dan beretika.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol menyampaikan hasrat warga pendidik di Sarawak yang memohon Kerajaan Sarawak mempertimbangan menyediakan program latihan khas atau seminar berkaitan AI bagi semua guru.
Katanya, ini bagi mengintegrasikan AI ke dalam kaedah pengajaran mereka di semua sekolah di Sarawak.
