Muat turun aplikasi Sarawak Croc Watch untuk ketahui lokasi berisiko buaya

KUCHING: Orang ramai disaran memuat turun aplikasi Sarawak Croc Watch bagi mengenal pasti kawasan panas penemuan buaya.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, aplikasi tersebut juga membolehkan orang ramai melaporkan penemuan buaya di kawasan tertentu.

“Oleh itu, sebarang penemuan buaya boleh dimuat naik ke dalam aplikasi ini supaya orang ramai dapat memahami dan mengetahui lokasi kawasan berisiko tinggi,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak kini juga mengambil langkah memindahkan buaya yang dikesan ke santuari buaya bagi memastikan keselamatan penduduk.