Sarawak tawar peluang pelaburan

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Gallois New Energy Materials telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membangunkan Kilang Pemprosesan Graphite di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, kata Timbalan Premier Sarawak.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, pembangunan kilang itu akan mengembangkan industri graphite di negara ini.

Graphite, sejenis karbon bermutu tinggi daripada arang batu, memiliki daya ketahanan haba dan aliran elektrik sesuai untuk digunakan dalam industri EV dan sel bahan bakar hidrogen, katanya berucap pada Majlis Hari Perniagaan EU-Malaysia 2024 di sini.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh EUROHAM dan InvestSarawak itu turut dihadiri duta dan delegasi perdagangan dari Eropah.

Menurut Awang Tengah, kerajaan berhasrat membangunkan Sarawak melalui inovasi dengan mentransformasikan ekonomi bertambah makmur, inklusif dan mampan sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Dengan mengeratkan lagi kerjasama antarabangsa bersama Kesatuan Eropah (EU), beliau berkata, Sarawak berharap mendapat faedah daripada pertukaran ilmu pengetahuan, pemindahan teknologi dan pelaburan sejajar dengan visi mencapai pembangunan mampan dan makmur.

Awang Tengah menegaskan, Sarawak mencatat jumlah dagangan yang besar dengan Eropah berjumlah RM10.8 bilion pada 2020.

Jumlah eksport Sarawak ke Eropah pada 2020 ialah RM8.7 bilion kebanyakannya ferro-alloys aluminium, katanya dan menambah, manakala import Sarawak dari Eropah berjumlah RM2.1 bilion dalam bentuk peralatan.

Jumlah dagangan yang besar itu, tegas beliau, membuka peluang luas hubungan dagangan yang masih belum diterokai sepenuhnya antara Sarawak dan Eropah.

Awang Tengah berkata, Sarawak menawarkan banyak peluang pelaburan dalam ekonomi baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hydrogen, ekonomi hijau dan biru sejajar dengan matlamat mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.