ROBAN: Projek menaik taraf jalan ladang dan kebun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka akan dilaksanakan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata tapak fasa pertama projek terbabit telah diserahkan kepada kontraktor.
“Sejumlah RM2.2 juta diperuntukkan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) untuk tujuan itu dan akan dilaksanakan pada tahun ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan majlis ringkas serah tapak projek pertanian di kawasan Jelupang, Sungai Ruan dan Nyiar dekat sini.
Mohamad Duri berkata, lokasi projek pertanian fasa pertama bagi DUN Kalaka ialah di Sungai Ruan, Blok A Jarau Jelupang dan jalan ladang Payau.
“Untuk Fasa kedua, kira-kira RM20 juta akan diperuntukkan untuk tujuan yang sama membabitkan kawasan Perpat, Kupang, Paloh, Pagan dan Saratok,” jelasnya.
