LAWAS: Stesen Kerbau Meragang di sini, bakal menjadi kilang memproses keju terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kilang tersebut bernilai RM13 juta.
“Kilang itu akan menyasarkan pasaran dalam serta luar negara atas nama keju mozarella yang bermutu tinggi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Stesen Kerbau Meragang Lawas di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata, kementerian itu juga akan mengadakan kursus memproses keju dari susu kerbau kepada penternak kerbau di daerah Limbang bagi dihantar ke kilang itu untuk diproses.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Datu Ubaidillah Latip, Residen Bahagian Limbang Unos Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Exco Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak, Steve Lius.
