Sarawak guna kekuatan atasi pencemaran alam

KUCHING: Kerajaan Sarawak menggunakan kekuatan sumber alam semulajadi yang dimiliknya untuk membantu dunia mengurangkan pencemaran alam akibat pelepasan karbon.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagaimanapun, menegaskan Kerajaan Sarawak memerlukan sokongan semua pihak terutama kepakaran dan pengalaman untuk merealisasikan visi itu.

Katanya, dengan membantu Sarawak, secara tidak langsung mereka dapat membantu dunia yang akhirnya akan memberi manfaat kepada manusia sejagat.

“Anda boleh terokai bidang mana yang boleh membantu kita. Seterusnya anda membantu dunia.

“Ia bukan untuk Sarawak, bukan untuk anda sendiri tetapi untuk menusia sejagat. Itulah objektif kita (Kerajaan Sarawak,” katanya semasa menyampaikan ucaptama sempena Majlis Makan Malam Hari Perniagaan Malaysia -Kesatuan Eropah (EU) 2024 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Abang Johari menjelaskan, penggunaan teknologi sangat mustahak dan telah mengubah cara perniagaan hari ini.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta delegasi dari EU.