BINTULU: Kejayaan Sarawak dalam mengurus pendapatan dan langkah pembangunan kini menarik perhatian dunia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan kestabilan kepimpinan menjadikan Sarawak lebih berjaya berbanding negeri lain hingga memudahkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memfokuskan terhadap usaha pembangunan.
“Malam tadi delegasi dari Kesatuan Eropah berjumpa dengan saya.
“Tujuan mereka untuk melihat sendiri polisi ekonomi kita. Ini bermaksud Sarawak dikenali seluruh dunia,” katanya semasa Majlis Rumah Tebuka Tahun Baharu Cina SUPP Bintulu Bersama YAB Premier di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, Sarawak juga mengambil pendekatan bersistematik dalam menguruskan kewangannya dengan menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak.
Premier Sarawak turut meluluskan permohonan projek dewan serbaguna untuk belia dan warga emas Bintulu dengan peruntukan berjumlah RM25 juta dan RM1.5 juta untuk projek pembinaan surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Assyakirin.
