Sarawak terus jadi destinasi pilihan pelabur

KUCHING: Sarawak terus menunjukkan daya tahan ekonomi yang kukuh dalam aktiviti pelaburan yang mampan dan perdagangan yang teguh.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dari segi pelaburan, sejak 2021 hingga suku ketiga 2025, Sarawak menarik pelaburan berjumlah RM105.9 bilion.

“Ini didorong oleh pelaburan domestik dan asing, mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan di Sarawak sebagai destinasi pilihan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), di sini, malam tadi.

Awang Tengah berkata dari segi prestasi perdagangan, Sarawak terus mengekalkan lebihan dagangan yang sihat dengan eksport Sarawak kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan global yang kukuh untuk gas asli cecair, produk berkaitan petroleum dan komoditi berasaskan sumber.

Menurutnya pada 2024, jumlah perdagangan Sarawak meningkat 2.7 peratus kepada RM198.7 bilion dengan eksport meningkat 3.1 peratus kepada RM134.9 bilion dan import pula meningkat 1.9 peratus kepada RM63.8 bilion yang menghasilkan lebihan dagangan lebih kukuh sebanyak RM71.1 bilion.

Pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menjadi fokus utama kementerian menerusi pelbagai program seperti GERAK, USTEV, Go Digital dan SKMS, katanya.

“Program itu memberi manfaat kepada lebih 10,200 PMKS dengan kelulusan pembiayaan berjumlah RM220.3 juta sejak 2021,” katanya.

Beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan menjadi fasa terakhir ke arah merealisasikan hasrat Sarawak mencapai status wilayah maju menjelang 2030.

“Ia memfokus kepada pengukuhan pelaburan strategik, pembangunan industri bernilai tinggi serta pendigitalan perkhidmatan perniagaan kerajaan,” katanya.

Majlis tersebut menghargai Mantan Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron atas kepimpinan beliau sepanjang menerajui kementerian.

Datu Lester Matthew dilantik sebagai Setiausaha Tetap kementerian yang baharu.

Hadir sama, Timbalan Menteri MINTRED Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Penasihat PKS MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais.