KUCHING: Warga pendidik berpeluang memohon pertukaran tempat bertugas selepas dua tahun berkhidmat, satu langkah disifatkan antara reformasi dasar signifikan dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengumumkan berita baik itu berkata, langkah itu dibuat bagi menangani isu rungutan berkaitan sistem e-GTukar yang sebelum ini dikritik kerana menyebabkan guru menunggu terlalu lama untuk berpindah ke lokasi yang diinginkan.
“Ini antara pembaharuan yang sangat dinantikan oleh guru. Kita dengar suara mereka – yang terpaksa berjauhan dengan keluarga, anak-anak akhirnya kita mengambil tindakan wajar untuk memperbaiki sistem sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi merasmikan sambutan tersebut.
Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memperkenalkan beberapa inisiatif lain termasuk pelantikan 1,470 pembantu guru di bawah program My Digital Guru (MyDG) yang akan ditempatkan di sekolah terpilih bagi meringankan beban tugas guru.
Dalam usaha menghargai guru cemerlang pula, seramai 32 pendidik akan dihantar menyertai program Inovasi Global untuk Guru Masa Depan (GIFTS) di United Kingdom.
“KPM juga memperuntukkan RM4 juta bagi membiayai kursus jangka pendek di luar negara, sebagai pelaburan dalam pembangunan profesionalisme dan kemahiran guru,” ujarnya.
Tambah beliau, guru kini turut menikmati diskaun tambang penerbangan sebanyak 20 peratus ke destinasi domestik melalui portal khas MH GoM, selain pemberian baucar buku sebagai sebahagian daripada ganjaran untuk menghargai jasa mereka.
Semua inisiatif ini bukan sekadar tanda penghargaan, sebaliknya merupakan pengiktirafan kepada peranan guru sebagai ejen perubahan dan penjaga masa depan negara.
“Kita tidak mahu penghargaan kepada guru hanya manis di bibir, tetapi diterjemahkan melalui dasar yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan hidup dan kerjaya mereka,” tegas beliau.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah.
