SIBU: Kontinjen zon tengah mensasarkan naib juara dengan kutipan 40 pingat emas dalam temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Ketiga yang akan berlangsung mulai 15 hingga 18 Januari ini, di sini.
Residen Bahagian Kapit, Galong Luang berkata, SUKSAR lalu, kontinjen zon tengah berjaya menduduki tempat ketiga.
“Sekurang-kurangnya pada tahun ini walaupun tidak juara, kita sasar tempat kedua,” katanya selepas mengadakan mesyuarat penyelarasan persediaan terakhir pasukan Zon Tengah serta majlis penyerahan bendera dan baju pasukan kepada pengurus pasukan di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Katanya, kontinjen itu mensasarkan 10 emas acara angkat berat, taekwando (enam emas), bola keranjang dan tinju (masing-masing empat emas).
“Begitu juga acara berbasikal, judo dan silat (tiga emas), bagi bola tampar, karate dan wushu (dua emas) dan satu emas disasarkan dalam hoki,” ujarnya.
Zon Tengah yang meliputi Sibu, Mukah dan Kapit merangkumi seramai 364 orang terdiri daripada pegawai dan atlet, yang akan bertanding dalam 13 acara sukan.
Katanya lagi, SUKSAR ini disertai hampir 1,200 orang termasuk pegawai dan atlet dari empat zon iaitu utara, tengah, barat dan selatan.
“Mereka akan tiba di perkampungan sukan di Desa Sanyan bersebelahan Kolej Laila Taib mulai 13 Januari ini, termasuk atlet kita di Zon Tengah,” jelasnya.
