DALAT: Usaha menyediakan pengangkutan percuma untuk pelajar 10 sekolah kawasan luar bandar di Dalat masih dibincangkan dengan Lembaga Sungai Sarawak (LSS).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha di bawah program Yayasan Sarawak itu akan memberi manfaat kepada seramai 287 pelajar sekolah rendah di Dalat.
“Perkara itu masih dalam perbincangan bersama LSS dan berharap akan dilancar tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Asrama Terbilang; Keceriaan Asrama 2023 Peringkat Sekolah-Sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat di sini, semalam.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) berkata, di samping itu penyediaan asrama di sekolah luar bandar juga penting termasuk di bawah Pejabat Pendidikan Dalat (PPD) yang masih dihubungi dengan jalan sungai.
“Pengangkutan yang digunakan untuk menghantar pelajar ke sekolah adalah perahu,” katanya.
Menurutnya, bagi menghantar pelajar ke sekolah setiap hari menggunakan perahu kosnya agak tinggi dan boleh menyebabkan keciciran pelajar luar bandar dalam pendidikan.
“Di bawah DUN Dalat, di bawah peruntukan MRP sejak 2010-2023, rumusan bantuan pendidikan melibatkan bantuan awal Sijil, Diploma, Ijazah dan lain-lain yang telah direkodkan adalah RM822,250 memberi manfaat kepada 1590 pelajar,” katanya.
