SIMANGGANG: Ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) Kawasan Ladong melancarkan tabung bencana kebakaran di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang, di sini, bermula hari ini.
Tabung ini bagi membantu keluarga di kampung berkenaan yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran tengah hari semalam.
Pemanca Abang Norin Abang Norudin berkata, tabung diletakkan di surau terbabit sehingga Isnin ini bagi memberi peluang kepada orang ramai memberi sumbangan.
“Saya mewakili KMKK Kawasan Ladong berharap agar orang ramai dapat sama-sama membantu memberi sumbangan untuk tabung,” katanya.
Selain itu, Abang Norin berkata Majlis Jawatankuasa Rekreasi Sosial KMKK Islam Bahagian Sri Aman turut melancarkan kutipan derma kilat daripada 32 JKKK di bahagian itu bermula malam tadi.
Kutipan derma itu akan diserahkan kepada mangsa pada Isnin ini.
Turut hadir ialah Temenggung Mohamad Shah Achang, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman Ahmad Noorkamal Abdul Malek, Penghulu Rosli Ana.
